Thank you, Beautiful people :-)

Friday, December 05, 2014

Yaumul Jumuah Sayyidul Ayyam - Surah Al-Kahfi

Artikel menarik yang boleh diambil pengajaran dan iktibar dari FB page Ustaz Shauqi Othman. Semoga bermanafaat buat teman-teman pembaca semua.
 
KENAPA KITA PERLU MEMBACA SURAH AL KAHFI
 
Surah Al Kahfi terletak di tengah-tengah mushaf ...Al Quran. Ia adalah surah ke 18 mengikut susunan di dalam mushaf daripada 114 surah. Ia terdiri dari 110 ayat dimulai dengan lafaz الحمد لله.
Terdapat banyak hadith yang menceritakan keutamaan beramal dengan surah ini. Antara yang masyhur, apa yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة، أضاء له من النور ما بين الجمعتين.
Ertinya:
“Barangsiapa membaca Surah Al Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya selama dua Jumaat.” (HR Al Baihaqi dan Al Hakim)

Begitu juga dengan sabdaan baginda yang diriwayatkan oleh Sahal bin Muaz dari bapanya Muaz bin Anas Al Juhani dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda:
من قرأ أول سورة الكهف وآخرها كانت له نورا من قدمه إلى رأسه ومن قرأها كلها كانت له نورا ما بين السماء والأرض
Ertinya:
“Barangsiapa membaca permulaan Surah Al Kahfi dan penghujungnya, dia akan beroleh cahaya dari tapak kaki hingga ke kepalanya. Dan sesiapa yang membaca keseluruhan surah Al Kahfi, dia akan beroleh cahaya dari langit hingga ke bumi.” (HR Ahmad)

Di dalam Sohih Muslim, Abu Darda’ meriwayatkan hadis:
من قرأ العشر الأواخر من سورة الكهف عصم من فتنة الدجال
Ertinya:
“Sesiapa yang membaca 10 ayat terakhir Surah Al Kahfi, dia akan terselamat dari fitnah dajjal.”
Abu Darda’ juga meriwayatkan:
من حفظ عشر آيات من أول سورة الكهف . عصم من الدجال
Ertinya:
“Sesiapa yang menghafaz 10 ayat dari Surah A Kahfi, dia akan terselamat dari dajjal.”

RAHSIA KEHEBATAN SURAH AL KAHFI

Apakah sebenarnya yang terkandung di dalam surah ini hingga begitu besar sekali ganjaran dan begitu banyak sekali riwayat hadith Nabi SAW yang menggalakkan kita supaya membaca dan menghafaznya?
Surah ini mengandungi 4 kisah dengan 4 fitnah dan 4 bahtera penyelamat. Kalimah fitnah di sini bermaksud cabaran dan ujian besar yang dihadapi oleh umat Islam.

Kisah Pertama
Ialah kisah Ashabul Kahfi yang memaparkan bagaimana pemuda-pemuda yang beriman dan ingin memelihara agama mereka telah bertindak menyelamatkan diri di sebuah gua bagi mengelak kekejaman pemerintah yang anti agama.
~Kisah ini mengandungi FITNAH AGAMA.
Manakala bahtera penyelamatnya ialah BERSAHABAT DENGAN ORANG YANG SOLEH.

Kisah Kedua
Kisah orang yang memiliki kekayaan berupa ladang dan mempunyai anak yang ramai menyebabkannya lupa kepada Allah dan hidup melampaui batas. Kisah ini berakhir dengan kemusnahan kekayaan dan segala yang dimilikinya.
~Ini merupakan FITNAH HARTA DAN ANAK PINAK.
Bahtera penyelamatnya ialah MENGERTI HAKIKAT DUNIA.

Kisah Ketiga
Kisah Nabi Musa dan Khidhir di mana Allah mendedahkan keluasan ilmuNya kepada Musa di sebalik beberapa insiden dalam perjalanan mereka berdua.
~Kisah ini mendedahkan FITNAH ILMU.
Bahtera penyelamatnya pula ialah TAWADHU’.

Kisah Keempat
Kisah Zulkarnain, seorang raja yang beriman dan memiliki kuasa memerintah yang hebat. Sentiasa melakukan kebaikan dan membantu golongan yang lemah.
~Kisah ini membicarakan berjayanya Zulkarnain mengharungi FITNAH KEKUASAAN.
Bahtera penyelamatnya pula ialah IKHLAS.
PERINGATAN ALLAH
Di pertengahan surah ini Allah memberi ingatan supaya menghindari hasutan Iblis kerana ia adalah musuh kepada manusia. Firman Allah dalam ayat 50:
 أفتتخذونه وذريته أولياء من دوني وهم لكم عدو بئس للظالمين بدلا

APA PERKAITAN AL KAHFI DENGAN DAJJAL

Pesoalan seterusnya apakah perkaitan surah ini dengan ancaman dan fitnah dajjal. Kenapa di dalam hadith-hadith di atas dinyatakan kelebihan orang yang membaca dan menghafaz Al Kahfi akan terselamat dari dajjal?
Mari kita lihat apa kerja dajjal atas muka bumi. Dajjal akan datang dengan membawa 4 fitnah.
  • Pertama: Dajjal mengarahkan penduduk dunia supaya menyembahnya. Maka ini adalah fitnah agama.
  • Kedua: Dajjal menunjukkan kuasanya menurunkan hujan dan memberikan pelbagai harta kekayaan kepada manusia. Ini fitnah harta.
  • Ketiga: Dajjal mampu menceritakan kepada manusia pelbagai khabar berita. Ia adalah fitnah ilmu.
  • Keempat: Dajjal berjaya membina kekuasaan yang luas atas muka bumi. Inilah fitnah kekuasaan.
Jika diperhatikan, surah ini telah memaparkan keempat-empat fitnah ini dan telah memberikan penyelesaiannya kepada manusia. Allah memaparkan 4 kisah dengan tema fitnah dan ujian yang berbeza. Lantas didatangkan alternatif untuk mengharungi fitnah berkenaan.

1. Dalam mengharungi fitnah AGAMA, Allah datangkan penyelesaiannya menerusi amalan sentiasa BERSAHABAT DENGAN ORANG SOLEH. Firmannya dalam ayat 28:
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطاً
2. Dalam menempuh fitnah HARTA, Allah datangkan penyelesaiannya dengan ilmu dan mengetahui HAKIKAT DUNIA. Firman Allah dalam ayat 45:
وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاء أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيماً تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِراً
3. Dalam menghadapi fitnah ILMU, Allah memerintahkan kita supaya TAWADHU’ dan merendah diri. Firman Allah dalam ayat 69:
قال ستجدني إن شاء الله صابرا ولا أعصي لك أمراً
4. Ketika kita diuji dengan fitnah KEKUASAAN, Allah memerintahkan kita supaya sentiasa IKHLAS dalam setiap perkara. Firman Allah dalam ayat terakhir (110): قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحاً وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَد

No comments: